KUALA LUMPUR, 17 Feb – Jumpa….. Pihak Bata Malaysia (Bata) akan mengadakan perjumpaan dengan pejabat agama, Isnin ini, untuk merungkai dakwaan reka bentuk kasut dihasilkan syarikat itu memaparkan kalimah Allah.

Pengurus Kanan Bata Marketing Sdn Bhd, Datuk James Selvaraj, berkata syarikat itu sudah menceburi industri penghasilan kasut lebih 80 tahun dan antara pemegang sahamnya adalah Tabung Haji serta Koperasi Polis Diraja Malaysia Bhd.

Sehubungan itu katanya, isu sensitiviti agama seperti kalimah Allah amat dititikberatkan supaya ia tidak dipaparkan pada mana-mana reka bentuk produk dalam usaha memelihara keharmonian pelbagai kaum di negara ini.

“Kita sangat berhati-hati dengan apa dihasilkan, justeru Bata akan membawa sampel kasut jenama B.first kepada pejabat agama Isnin ini supaya mereka boleh melihat reka bentuknya secara teliti.

“Bata akan serahkan kepada kuasa pejabat agama untuk tentukan sama ada reka bentuk satu daripada 30 jenis kasut B.first memaparkan kalimah Allah atau sebaliknya.

 

“Kita juga akan akur dengan sebarang keputusan dan tindakan lanjut diarahkan pejabat agama, sebelum mengeluarkan kenyataan media Isnin ini,” katanya.

Beliau mengulas surat didakwa dikeluarkan Guru Besar Sekolah Agama Bandar Batu Pahat yang menggesa ibu bapa memeriksa reka bentuk kasut jenama B.first kerana mengesyaki ia mempunyai kalimah Allah pada bahagian tapaknya yang menjadi viral sejak semalam.

Surat berkenaan turut mendesak supaya ibu bapa yang mengenal pasti kesahihan dakwaan itu untuk membakar kasut terbabit di dalam lubang, manakala abunya ditimbus.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim, berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang menyiasat laporan berkenaan.

Setakat ini pihaknya tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai surat berkenaan dan perkara itu seharusnya dirujuk kepada Bahagian Penyelidikan JAINJ terlebih dahulu bagi pengesahan, katanya.

“Mana-mana sekolah di bawah seliaan JAINJ tidak boleh mengeluarkan surat sebegitu apatah lagi ia mencetuskan panik dalam kalangan ibu bapa serta penjaga murid.

“Ia seharusnya dirujuk kepada JAINJ supaya kita dapat membuat siasatan lanjut serta mengesahkan sama ada kalimah di tapak kasut itu benar-benar menyerupai kalimah Allah,” katanya kepada. – WD MY