KOTA ISKANDAR, 14 Mei – Pas Lawatan…. Jabatan Imigresen mengeluarkan 2,485 Pas Lawatan Kerja Sementara dan 1,682 pas penggajian dan lawatan ikhtisas bagi pekerja-pekerja asing warganegara China yang bekerja di empat lokasi pembinaan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia, R. Vidyananthan berkata empat lokasi itu termasuk di projek Forest City, Gelang Patah.

Katanya, permohonan bagi kesemua pas itu diproses selepas mendapat pertimbangan dan kelulusan kuota pihak Kementerian Sumber Manusia.

“Permohonan daripada syarikat-syarikat pembinaan utama itu dibuat selepas terdapat laporan mengenai kebanjiran pekerja warga China yang diambil tanpa prosedur sah.

“Isu ini berpunca daripada ejen serta individu tidak bertanggungjawab yang bertindak selaku orang tengah membawa masuk kumpulan pekerja itu,” katanya dalam ucapan penggulungan portfolionya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13 di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua pekerja ini akan dihantar pulang ke negara asal sebaik tamatnya pembinaan projek.

Minggu lepas, sebuah portal berita melaporkan ratusan pekerja dari China terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini dan di jalanan sementara menunggu penerbangan pulang ke negara mereka.

Menurut laporan itu, mereka membayar antara 10,000 Yuan (RM6,288) hingga 24,000 Yuan (RM15,092) kepada ejen di negara mereka untuk bekerja di projek berkenaan yang kononnya menjanjikan gaji lumayan.

Dibangunkan bersama Country Garden Holdings (CG) daripada China dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), ia membabitkan pelaburan US$40 bilion bagi tempoh 20 tahun. – WD MY