SHAH ALAM, 13 SEPT – INGATKAN…. Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan ahli parti itu agar belajar daripada Umno untuk mengelak mereka ditolak oleh rakyat pada masa depan.

Katanya, untuk menjadi peneraju negara yang berwawasan, Bersatu mesti melihat kepada sebab yang membawa kepada tumbangnya Umno daripada kerajaan pada tahun lalu.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan penyokong Bersatu bahawa kejayaan mereka menguasai kerajan turut disumbang oleh lemahnya Umno dan BN.

“Walaupun kita (Bersatu) masih muda, kita dapat kalahkan parti yang tertua.

“Kita (menang) bukan semata-mata sebab kekuatan kita (atau) sokongan rakyat, tetapi sebab parti lawan (Umno) sudah ditolak oleh rakyat yang memerdekakan negara.

“Nasib parti itu (Umno) menjadi sesuatu yang kita boleh jadikan pengajaran, kita (Bersatu) boleh belajar dari pengalaman dan apa yang berlaku,” katanya.

Mahathir menyampaikan pesanan itu semasa memberi ucapan pada majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan tahun ketiga penubuhan Bersatu, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam ini.

Turut hadir Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir, Ketua Wanita Rina Mohd Harun dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Sebelum itu mereka bersolat Isyak di Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang terletak tidak jauh dari Dataran Kemerdekaan berkenaan.

Laungan “Hidup Tun” bergema pada ketika Mahathir memberikan ucapan.

Majlis selama satu jam itu berakhir dengan upacara memotong kek dan pulut kuning.

Selain itu, Mahathir yang juga perdana menteri mengingatkan supaya Bersatu tidak menjadi perjuangan mereka berkiblatkan wang dan kuasa jika mahu kekal lama berkuasa di Putrajaya.

“Kita tidak akan guna duit, kita bergantung kepada semangat kebangsaan, bangsa kita. Untuk meraih sokongan rakyat bukan kerana kita hambur duit kepada mereka,” katanya. – WD MY