BAGAN DATUK, APRIL 19:PENGERUSI…Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib memberi kuasa kepada Pengerusi BN semua negeri mengumumkan calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di negeri masing-masing.

Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pucuk kepemimpinan tertinggi sudah memberikan tarikh sesuai kepada semua Pengerusi BN negeri mengumumkan perkara itu.

 “Saya yakin dengan keputusan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN untuk memberikan kuasa kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri yang menjadi Pengerusi BN negeri mengumumkan calon Parlimen dan DUN bagi negeri yang berkenaan.

“Bagi Perak sendiri, kita serahkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) mengumumkannya.

“Kami (pucuk pimpinan) sudah menyerahkan tarikh sesuai kepada beliau, jadi kita serahkan kepada beliau,” katanya pada sidang media selepas melawat bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit 4 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tarikh pengumuman calon BN dan khabar angin sejak beberapa hari lalu mengatakan Perdana Menteri akan menyerahkan watikah pencalonan kepada calon BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) secara berperingkat pada Jumaat, Sabtu atau Ahad ini.

Pada Mac lalu, Najib dilaporkan berkata, BN akan memecahkan tradisi dengan mengumumkan senarai calon PRU-14 lebih awal daripada biasa.

Mengulas lanjut khabar angin berkenaan, Ahmad Zahid berkata, keputusan berhubung pengumuman calon PRU-14 sudah dibuat.

“Saya bercakap sebagai Timbalan Pengerusi BN, bukannya khabar angin tetapi ini khabar betul,” katanya.-MY WD