KUALA LUMPUR, 26 Mei – Dituduh Mengubah Wang Haram…..Pengerusi Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM1.52 juta.

Tertuduh, Datuk Mohd Nazrul Izad Mohd Arshad, 37, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Nazrul didakwa terbabit dalam tiga kegiatan pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhan RM1.52 juta melalui cek di dalam akaun koperasi itu di Hong Leong Bank Berhad.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Hong Leong Bank Berhad, Taman Setapak Indah Jaya, Off Jalan Genting Kelang, di sini, antara 26 November 2013 dan 5 Februari 2014.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan esok untuk sebutan semula kes. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY