PUCHONG, 23 Ogos – Ziarah…… Tiga bakal jemaah haji dari Malaysia tahun ini meninggal dunia, masing-masing dua lelaki dan seorang wanita.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata dua jemaah meninggal dunia di Madinah manakala seorang lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, ketika menunggu penerbangan ke Arab Saudi.

“TH akan menunaikan badal haji untuk ketiga-tiga jemaah haji yang meninggal dunia itu,” katanya selepas menziarahi keluarga Allahyarhamah Supiyah Bakar, 52, di Bandar Bukit Puchong, di sini, hari ini.

Supiyah meninggal dunia di sebuah bilik Hotel Al Haram, Madinah, akibat angin ahmar, Jumaat lalu.

Abdul Azeez turut menyertai majlis tahlil dan menyampaikan sumbangan RM5,000, air zam-zam dan kurma kepada anak sulung Allahyarham, Shafawati Mohamad Shairi, 33.

Beliau berkata, dua jenazah iaitu Allahyarham Kamarul Zaman Masod Zainal yang meninggal dunia di KLIA dikebumikan di Kuala Nerang, Kedah, manakala Mohamad Aman dikebumikan di Madinah.

“Jenazah Allahyarham Supiyah yang diklasifikasikan mati mengejut masih dalam proses bedah siasat dan Insya-Allah akan dikebumikan di Madinah, dalam tempoh terdekat,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY