KUALA LUMPUR, 3 Jun – Penggunaan Produk Biodegradasi…….Awal tahun depan, semua peniaga dan
penjaja di Wilayah Persekutuan diwajibkan mengguna produk jenis biodegradasi
untuk menggantikan pembungkusan plastik dan polisterin.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata
kementerian itu dalam proses mengadakan undang-undang kecil Penggunaan Produk
Biodegradasi bagi memperkuat kuasa peraturan itu.

Kementerian juga menyenaraikan empat fasa pelaksanaan Dasar Penggunaan
Produk Biodegradasi di Wilayah Persekutuan dengan fasa pertama bermula bulan
ini, yang mewajibkan semua peniaga di Pasar Raja Bot menggunakan produk jenis
biodegradasi.

Fasa kedua akan bermula pada Ogos ini dengan mewajibkan penjaja pasar-pasar
malam, restoran, dan penjaja Trak Makanan menggunakan bekas makanan, cawan dan
beg jenis biodegradasi, katanya kepada media selepas merasmikan Penggunaan
Produk Biodegradasi di Pasar Raja Bot hari ini.

Fasa ketiga pula melibatkan pusat beli-belah dan pusat penjaja yang bermula
pada awal Oktober ini manakala fasa keempat merupakan penguatkuasaan
undang-undang kecil itu.

Beliau berkata usaha itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa
amalan hijau dalam kalangan masyarakat, dan produk biodegradasi mudah dikompos
atau terlerai serta mesra alam.

Tengku Adnan berkata setakat ini, enam pembekal dikenal pasti mampu
membekal produk biodegradasi itu, yang diiktiraf di peringkat antrabangsa dan
tempatan.

“Saya faham pemakaian produk biodegradasi ini nampak sukar tetapi apabila
program ini dilaksanakan secara berterusan, pengguna akan menyedari mengenai
kepentingan untuk tidak menggunakan beg plastik dan polisterin dalam kehidupan
seharian,” katanya.

Menurutnya kementerian akan memastikan persatuan-persatuan penjaja, peniaga
kecil dan peniaga dapat memperoleh bekalan produk itu pada harga berpatutan.

“Buat masa ini, saya tahu harga produk biodegradasi lebih mahal berbanding
plastik biasa tetapi kita akan cuba untuk dapatkan harga yang berpatutan,”
katanya. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY