KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berharap penghayatan warisan sejarah negara dan penguasaan bahasa kebangsaan diperkukuhkan sebagai asas jati diri rakyat di negara ini.

Baginda bertitah, ia membentuk perpaduan yang menjadi inti pati kepada keamanan serta kesejahteraan hidup rakyat, sekali gus menjamin kestabilan negara.

Sultan Muhammad V turut mengalu-alukan peningkatan skor Indeks Syariah Malaysia yang menjadi satu komitmen kerajaan dalam melaksanakan pentadbiran negara berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Dalam hal ini, nilai kesederhanaan yang sentiasa diperjuangkan oleh Malaysia juga mendapat keyakinan dunia apabila resolusi bagi menangkis penyebaran fahaman ekstremisme dan radikalisasi yang dikemukakan Malaysia diterima dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” titah baginda.

Sultan Muhammad V bertitah demikian pada sesi pembukaan Mesyuarat Ketiga, Penggal Keenam, Parlimen Ke-13 di Parlimen, hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam titah diraja itu, baginda turut mengalu-alukan langkah menambah baik sistem pengangkutan awam yang kini kadar penggunaannya semakin meningkat setiap hari.

Baginda yakin projek infrastruktur pengangkutan awam yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan akan turut memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.

“Kerajaan beta akan terus melaksanakan program transformasi bagi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat di luar bandar, Sabah, Sarawak, peneroka FELDA, pekebun kecil RISDA, peserta FELCRA, penduduk kampung tradisional dan masyarakat Orang Asli serta Bumiputera minoriti di Sabah dan Sarawak.

“Kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan juga akan dipertingkatkan dengan nilai tambah dan nilai cipta terkini menerusi kelestarian pelbagai inovasi dan idea kreatif serta berteraskan kolaborasi pintar antara pemegang taruh kesihatan daripada pelbagai sektor,” titah baginda.

Sultan Muhammad V turut melahirkan rasa sukacita terhadap pelbagai program dan aktiviti yang akan dilaksanakan bagi memperkasakan wanita dalam pelbagai sektor termasuk memastikan 30 peratus daripada golongan itu berada di peringkat pembuat keputusan.

Di samping itu, baginda turut mengalu-alukan usaha berterusan untuk mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan supaya lebih cekap bagi menjadikan Malaysia antara kelompok 20 negara teratas di dunia.

Titah baginda, integriti dan tadbir urus pentadbiran awam akan terus diperkasakan untuk membanteras elemen kebocoran, penyelewengan dan salah guna kuasa. – WD MY