KUALA LUMPUR, 27 April – PINDAH… Seramai 222 penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, susulan penemuan keretakan di bangunan itu sejak tengah hari tadi.

Ketua Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, berkata kesemua penghuni daripada 37 keluarga itu dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat sebagai langkah keselamatan.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya mengesyorkan semua penghuni blok ini mengosongkan bangunan dan pihak polis akan menguatkuasakan kawalan keselamatan agar tiada penduduk berada di blok ini memandangkan keretakan masih aktif,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian malam tadi.

Beliau berkata, pemantauan akan diteruskan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ahmad Fairuz menasihati penduduk supaya mematuhi arahan pihak berkuasa atas faktor keselamatan.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk blok berkenaan mula mengosongkan bangunan itu sejak jam 10.30 malam.

Mereka antaranya dilihat membawa beg pakaian dan barang keperluan lain menuruni tangga di blok kediaman empat tingkat itu.

Seorang penduduk, Sukiman Mukni, 72, berkata keretakan itu dipercayai berlaku susulan hujan lebat sejak kelmarin.

“Pagi ini (semalam) keretakan semakin merebak dan kami rasa tidak selamat,” katanya yang telah menetap di kawasan kediaman itu sejak 28 tahun lalu. – WD MY