KLUANG, 18 Mac – Turun….Kejayaan Malaysia menurunkan statistik banduan dan pesalah melakukan kesalahan berulang sehingga 8.59 peratus mendapat pengiktirafan antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, pengiktirafan antarabangsa itu membuktikan hukuman dan aktiviti pemulihan yang dijalankan penjara di negara ini berkesan.

Di negara maju, katanya, sebanyak 50 peratus banduan dan pesalah melakukan kesalahan berulang, sekali gus terpaksa menjalani hukuman semula di penjara.

“Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum berpuas hati dengan pencapaian ini dan mahu menurunkan lagi jumlah pesalah berulang dan ia boleh dilakukan dengan menambah baik serta memperkemas modul pemulihan sedia ada.

“Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) perlu menggunakan pendekatan baharu menggunakan unsur keagamaan serta kerohanian dalam memulihkan banduan serta pesalah dadah di negara ini.

“Ketika ini, 48 peratus banduan dan pesalah yang menjalani hukuman serta proses pemulihan dalam penjara negara ini adalah kesalahan berkaitan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Penjara ke-227 dan Hari Antidadah Kebangsaan 2017 di Penjara Simpang Renggam, dekat sini, hari.

Ahmad Zahid berkata, Yayasan Koreksional Malaysia yang dilancarkan hari ini boleh memainkan peranan dalam memastikan latihan kemahiran yang bersesuaian dan boleh menjadi asas kepada laluan kerjaya selepas banduan dibebaskan.

“Saya percaya menerusi program pemulihan membabitkan disiplin diri, keagamaan dan kerohanian, pembentukan sahsiah, akademik, kemahiran, integrasi bersama masyarakat dan laluan kerjaya terjamin akan menjadi benteng kepada penghuni untuk tidak mengulangi kesilapan lampau,” katanya. – WD MY