KUALA LUMPUR, 16 Feb – Bekas Pengarah Urusan Syarikat Tanjung Offshore Berhad, Datuk Harzani Azmi didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan berhubung dokumen jual beli saham sebuah syarikat dan pengubahan wang haram bernilai lebih RM13 juta, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Harzani 49, tahun, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan secara berasingan itu dibacakan di depan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Harzani didakwa melakukan perbuatan itu masing-masing di bilik mesyuarat Pejabat Tanjung Offshore Berhad, Wisma UOA, Damansara di sini pada jam 10 pagi, 21 Oktober 2013 dan Batu 3, Jalan Klang Lama, di sini antara 14 November 2013 hingga 27 November 2013.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 366(1)(a) Akta Syarikat 1965 yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) (AMLA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes. – CF(WD MY)

LEAVE A REPLY