BAGAN DATUK, 11 Mac — TIDAK TERPEDAYA….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengundi Cina agar tidak terpedaya dengan janji-janji pembangkang, sebaliknya membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ahmad Zahid berkata pengundi Cina jangan terjebak dengan janji pembangkang pada pilihan raya umum akan datang disebabkan sehingga kini parti pembangkang masih gagal melaksanakan janji mereka sebelum ini.

“Cukuplah, pengundi Cina jangan terjebak lagi dengan janji-janji diberikan pembangkang, tengoklah janji mereka semula, cakap nak bagi air free (percuma) tapi tak dapat pun, cakap harga air tidak naik tapi naik juga, di Selangor sampai ada yang tidak mandi kerana krisis ketiadaan bekalan air.

“Jadi, berilah peluang kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk membuktikan kemampuan mereka untuk membantu masyarakat Cina dan saya yakin masyarakat Cina sudah mula berubah,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan lesen pendudukan sementara (TOL) bagi penduduk Kampung Bagan Pasir Laut hari ini. – WD MY