KUANTAN, APRIL 18: PENGUNDI….Pengundi di kawasan bandar perlu bersyukur dan berterima kasih dengan pelbagai pembangunan dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid, berkata mereka wajar mensyukuri nikmat dan limpahan ekonomi hasil pembangunan terancang oleh kerajaan.

Beliau berkata, sokongan padu pengundi di kawasan bandar secara langsung turut membantu kesinambungan usaha kerajaan membela rakyat di luar bandar.

“Kemenangan BN di kawasan bandar seperti Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan akan menjadi pelengkap kepada pencapaian cemerlang kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

“Apabila BN berjaya merangkul kemenangan di kawasan bandar, usaha kerajaan membela nasib rakyat luar bandar juga menjadi lebih lancar dan berkesan,” katanya pada Program Perdana Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Cenderawasih Timur di sini, hari ini.

Mustaffar Kamal yang juga Pengerusi Persatuan Peladang Negeri Pahang (PASFA) berkata, namun ada pengundi di bandar seolah-olah tidak menghargai kemajuan dan kemudahan disediakan apabila bertindak menolak kerajaan, malah menabur dakyah antikerajaan.

“Saya berpendapat pengundi di bandar yang menyokong parti pembangkang adalah individu tidak bersyukur walaupun kerajaan sudah banyak menyediakan kemudahan untuk mereka hidup selesa.

Justeru, katanya, UMNO dan BN Parlimen Indera Mahkota berharap pengundi di kawasan berkenaan tidak lagi mengulangi kesilapan sama sehingga membenarkan pembangkang memenangi kerusi Parlimen serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya.

“Menjelang PRU-14, saya berharap pengundi bandar dapat memberi sepenuh sokongan kepada BN dalam memastikan misi kerajaan membawa lebih banyak pembangunan, termasuk membela nasib rakyat luar bandar, dapat terus dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan pada program berkenaan, termasuk pertandingan memasak, melukis, pemeriksaan kesihatan percuma, pemberian cermin mata dan kempen pencegahan denggi.-MY WD