ALOR SETAR, 29 OGOS – TERPERANGKAP….  Seramai 15 pengunjung sebuah pusat membeli belah di sini berdepan detik cemas selepas terperangkap di dalam lif bangunan setinggi enam tingkat itu petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Zulkiflee Md Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.29 petang sebelum anggotanya tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati terdapat pengunjung terperangkap kira-kira 10 minit di dalam dua lif di tingkat tiga dan tingkat bawah bangunan terbabit.

“Di lif tingkat tiga, terdapat seorang kanak-kanak perempuan bersama bapanya berusia 30-an, tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun dan tiga wanita berusia sekitar 30-an.

“Manakala di lif tingkat bawah pula, terdapat tiga wanita berusia antara 30-an hingga 40-an terperangkap,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Zulkiflee berkata anggota bomba dengan bantuan penyelenggara lif kemudian berjaya membantu menyelamatkan semua mangsa terbabit.

“Seorang pekerja kompleks itu terpaksa diberi rawatan kecemasan kerana mengalami serangan asma selepas keletihan berlari mencari lif yang mengalami masalah teknikal.

“Semua mangsa yang terperangkap, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – WD MY