KUALA LUMPUR, 14 APRIL – LESEN….. Lebih 200 peniaga ‘bundle’ di Jalan Raja Bot, di sini, memohon supaya perniagaan yang mereka jalankan sejak tujuh tahun lalu diberikan lesen perniagaan yang sah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Permohonan itu disampaikan terus kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang hadir ke program ‘Walkabout Weekend Vintage Night Market’ di Jalan Raja Bot, malam tadi.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Abdullah, berkata sudah beberapa kali mereka membuat permohonan supaya diberikan lesen yang sah.

“Peniaga ‘bundle’ ini ada perasaan mahu bertanggungjawab, sebab itu kita mohon untuk diberikan lesen, bila ada lesen ada kawalan dari segi kebersihan dan mereka juga boleh jadikan lesen ini platform untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Bila sudah ada lesen, kita boleh rancang sesuatu yang lebih besar, kita boleh memohon untuk DBKL bina infrastruktur seperti pintu gerbang dan pencahayaan di Jalan Raja Bot,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bundle, Sharin Darus, berkata timbul kerisauan di kalangan peniaga ‘bundle’ di Jalan Raja Bot yang berniaga tanpa lesen.

“Mereka terdiri daripada anak-anak muda, kita risau jika DBKL menguatkuasakan undang-undang atau mengambil tindakan kepada mereka, ia akan jadi masalah.

“Sebab itu kita mohon DBKL membantu dengan memberikan pemuda kita ini lesen, inilah langkah pertama sebelum kita rancang perkara lain.

“Kawasan ini ada potensi untuk menjadi tarikan pelancong, barangan yang dijual majoritinya barangan unik. Bagi mereka yang meminati barangan ‘bundle’, Jalan Raja Bot ini memang ada aura tersendiri,” katanya.

Dalam program tinjauan mesra yang bermula pada jam 9.30 malam itu, Nor Hisham meluangkan masa berdialog dengan ahli persatuan penjaja dan peniaga ‘bundle’.

Selain itu, beliau juga turut melihat dengan lebih dekat barangan ‘bundle’ yang dijual dan melihat sendiri cabaran dan kesulitan yang dihadapi peniaga di kawasan terbabit. – WD MY