KOTA BHARU, 10 Jan – ROMPAKAN…… Kedua-dua anggota polis dan seorang peniaga dihukum penjara 11 dan 13 tahun serta sebatan atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di Kampung Tanjong Badang, dua tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail mengenakan hukuman itu selepas ketiga-tiga tertuduh didapati bersalah di akhir kes pembelaan apabila gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Tertuduh pertama, Adri Hazwan Ahmad, 29, yang juga anggota polis dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan empat sebatan.

Tertuduh kedua, Mohamad Fauzi Arifin, 27, yang juga Lans Koperal dan abangnya, Mohamad Fairuz, 30, seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara 13 tahun serta enam sebatan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersama dua orang lagi didapati dengan niat melakukan rompak berkumpulan ke atas Rahmah Omar, 54, dengan mengambil wang tunai RM3,050 di sebuah rumah di Kampung Tanjong Badang, Kota Bharu, jam 11.15 malam, pada 18 Mac 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Nazri dalam penghakimannya berkata, saksi pembelaan gagal menunjukkan keraguan munasabah dan bersifat penafian semata-mata selepas ketiga-tiga tertuduh tidak menafikan berada di tempat kejadian dan hanya menafikan mereka melakukan rompakan.

Hukuman dijatuhkan kepada dua beradik yang juga tertuduh kedua dan ketiga tanpa kehadiran mereka di mahkamah hari ini mengikut Seksyen 425(a) Kanun Prosedur Jenayah.

Sementara itu, peguam mewakili tertuduh, Zuhaidi Akmal Hasan Bakri dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertama dilakukan oleh ketiga-tiga tertuduh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falena Abu Bakar mohon hukuman setimpal kerana dua daripada tertuduh adalah anggota polis yang sepatutnya melindungi orang awam. – WD MY