Peniaga Gerai Makanan Di Tanjung Tokong Didakwa Kerana Menghalang Tugas MBPP

0
107

GEORGETOWN, 9 Mei – Dihalang….. Dua  lelaki yang juga rakan kongsi gerai makanan di Tanjung Tokong di sini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini, atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam.

Mohammad Haziq Ammar Mohd Hussain, 28, dan Abdul Muhaimin Mohd Hassan, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa menghalang tugas penjawat awam dengan membawa lori milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di gerai makan berhadapan Balai Bomba Bagan Jermal, kira-kira jam 8.30 malam pada 4 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mohamad Amin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam M Puveneswaran. – WD MY