KUALA LUMPUR, 5 Dis – UNJURKAN…. Malaysia diunjurkan mencatat peningkatan gaji sebenar paling rendah dalam kalangan enam ekonomi utama ASEAN yang dikaji selidik oleh firma perunding kekayaan dan kerjaya, Mercer Malaysia.

Laporan Kaji Selidik Jumlah Saraan Malaysia 2019 yang dikeluarkannya mendapati peningkatan gaji pekerja merentas industri utama di Malaysia dijangka kekal stabil pada kadar lima peratus tahun depan.

Perunding Kanan (Kerjaya) Mercer Malaysia, Koay Gim Soon, berkata walaupun gaji pekerja Malaysia dijangka meningkat dengan stabil pada kadar lima peratus pada 2020, kadar inflasi negara diunjurkan meningkat lebih tinggi kepada 2.4 peratus berbanding 0.9 peratus pada 2019.

Sehubungan itu, katanya dengan mengambil kira kadar inflasi 2.4 peratus, unjuran peningkatan gaji sebenar di negara ini adalah yang paling rendah dalam kalangan enam ekonomi utama ASEAN yang dikaji selidik olehnya.

“Peningkatan gaji sebenar Malaysia mencatat kenaikan terkecil dalam erti sebenarnya, jika kita mengambil kira kadar inflasi.

“Sekiranya dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain, kita sebenarnya yang paling lambat dari segi pergerakan gaji sebenar,” katanya pada taklimat media memperincikan laporan gaji pekerja Malaysia itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Mercer Malaysia, Prashant Chadha.

Gim Soon berkata, pengiraan peningkatan gaji sebenar disandarkan kepada peratusan kenaikan gaji nominal ditolak kadar inflasi, yang mana bagi Malaysia ia memberikan bacaan 2.6 peratus.

Sebagai perbandingan, peningkatan gaji sebenar di Singapura ialah sebanyak 3.5 peratus; Thailand (4.0 peratus); Vietnam (5.3 peratus); Indonesia (4.3 peratus); dan Filipina (2.8 peratus).

Ramalan aliran gaji 2020 di Malaysia juga diunjurkan kekal stabil di seluruh fungsi pekerjaan.

Tiga fungsi pekerjaan teratas dengan kenaikan gaji tertinggi ialah pengeluaran dan kemahiran (5.8 peratus); analisis data/penyimpanan (5.5 peratus); serta teknologi maklumat (IT) dan pengurus projek (5.3 peratus).

Pekerjaan pentadbiran dan kesetiausahaan pula dijangka menerima kenaikan terendah sebanyak empat peratus.

Namun, Prashant berkata: “syarikat dan industri yang berprestasi baik mungkin lebih terinspirasi untuk memberikan kakitangan kenaikan gaji lebih tinggi daripada purata pasaran.” – WD MY