KUALA LUMPUR, 24 Feb – PELAN….. Satu Siri penjajaran semula merangkumi sektor pendidikan dan sistem sokongan akan dilaksana pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata, pelan itu selaras persediaan kerajaan mewujudkan set kemahiran baharu dalam kalangan rakyat bagi berdepan rangkaian cabaran susulan tempias Revolusi Industri 4.0.

“Ini keutamaan saya selepas PRU14 yang perlu diteliti, dengan syarat rakyat masih beri mandat kepada kita (Barisan Nasional) untuk menerajui kerajaan.

“Perkara ini (penjajaran semula) harus dilakukan untuk kita memupuk bakat dan kemahiran, khususnya dalam kalangan generasi pelapis bagi mendepani Revolusi Industri 4.0,” katanya sempena sesi perdampingan bersama Axiata dan kakitangan Celcom, di Axiata Arena, petang semalam.

Terdahulu, Najib meluangkan masa meninjau pameran inovasi Axiata, tanggungjawab sosial korporat dan sumbangan nasional syarikat telekomunikasi itu

Ia antara lain merangkumi pelancaran Inisiatif Ekosistem Tanpa Tunai hasil inovasi Boost, iaitu aplikasi dompet elektronik (e-dompet) yang dibangunkan Axiata Digital.

Dalam perkembangan lain, Najib turut menyuarakan janji bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam urusan penentuan hala tuju oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan syarat ia selari agenda dan matlamat negara.

“GLC perlu tanamkan sikap glokal, iaitu pemikiran dan perencanaan dalam meneroka peluang perniagaan berada di peringkat global tetapi dasar syarikat bertunjangkan kepentingan tempatan.

“Asalkan selari dengan agenda dan matlamat negara seperti ini, kita (kerajaan) tidak akan sesekali campur tangan melainkan GLC memerlukan bantuan,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, statistik menunjukkan peningkatan kadar pendapatan rakyat ketika ini sekitar enam peratus, manakala inflasi, 3.5 peratus.

Katanya, perangkaan sedemikian tidak sepatutnya menyebabkan rakyat merungut mengenai isu kos sara hidup, namun ia tercetus angkara dakyah pembangkang yang sengaja memanipulasi perkara berkenaan.

“Saya tidak kata salah bahawa rakyat merungut mengenai kos sara hidup dengan menggunakan beberapa petunjuk ekonomi sebagai sandaran tetapi isu ini sengaja dimanipulasi pembangkang.

“Sebenarnya, rakyat mempunyai pelbagai peluang dalam menentukan kaedah untuk menangani peningkatan kos sara hidup, selaras usaha kerajaan menyediakan rangkaian pilihan barangan yang ditawarkan pada harga berpatutan seperti Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 (KR1M2.0).

“Usah bimbang kerana kita masih teruskan dasar pemberian subsidi, khususnya membabitkan sektor yang mempunyai kepentingan rakyat seperti pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

“Oleh itu, gambaran bahawa kerajaan tidak melakukan sebarang usaha dalam menangani isu peningkatan kos sara hidup adalah tidak benar,” katanya. – WD MY