ALGIERS, 26 Mei – HUKUMAN….. Penulis blog Algeria yang ditahan tahun lalu, kerana memuat naik mesej di media sosial dijatuhi hukuman penjara 10 tahun atas tuduhan mengintip dan beberapa tuduhan lain.

“Antara tuduhan yang dikenakan terhadap penulis blog, Merzoug Touati, termasuk ‘menghasut menggunakan senjata untuk menentang kerajaan’ dan ‘menggalakkan orang ramai mengadakan perhimpunan’.

“Tuduhan lain, termasuk mengintip dengan kerjasama ejen asing, terutama Israel dengan tujuan untuk menjejaskan kedudukan diplomatik Algeria,” kata anggota Liga Pertahanan Hak Asasi Manusia Algeria, Said Salhi.

Hukuman ke atas Touati itu dijatuhkan oleh sebuah mahkamah di Bejaia, di timur Algiers.

Mengikut undang-undang Algeria, beliau mempunyai tempoh selama 10 hari untuk merayu hukuman berkenaan.

Touati ditahan pada Januari 2017 selepas beliau memuat naik mesej di Facebook dan video di YouTube, namun kedua-dua akaun itu ditutup tidak lama kemudian.

Dalam salah satu mesej itu, beliau menyeru orang ramai membantah undang-undang kewangan yang diluluskan pada 2017, manakala video di YouTube pula menyelitkan temubual dengan jurucakap Menteri Luar Israel, yang menafikan tuduhan pihak berkuasa Algeria bahawa Israel menjadi dalang beberapa siri bantahan yang berlangsung di Algeria, ketika itu. – WD MY