RAWANG, 15 Mei – Tumpas…Dua lelaki yang dipercayai dalam perjalanan melakukan rompakan, mati selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di Jalan Lagong, Rawang, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, sepasukan polis yang melakukan rondaan di jalan Bandar Country Homes menghala ke Kundang, terserempak dengan dua suspek terbabit dalam sebuah kenderaan dengan keadaan mencurigakan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah, berkata suspek menyedari mereka diekori kemudian memecut kenderaan mereka sejauh dua kilometer sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Suspek dan polis berbalas tembak sebelum kedua-dua penjenayah mati terkena tembakan polis.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek membawa kepada penemuan dua pistol, batang besi, plat nombor pendaftaran kenderaan, parang dan penutup muka,” katanya di lokasi kejadian, pagi ini.

Berdasarkan senjata dan peralatan yang ditemui, Mohd Adnan percaya suspek dalam perjalanan untuk melakukan rompakan. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY