BUKIT MERTAJAM, 17 Jun – Tumpas…. Penjenayah yang dikehendaki maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Berjaya di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.25 pagi itu, suspek dikesan memandu kereta jenis Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan di Jalan Soon Ban Keng dan melarikan diri ketika cuba ditahan anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah, berkata suspek yang memecut ke arah Kampung Baru dipintas berdekatan kawasan sekolah di Jalan Berjaya.

“Anggota polis yang cuba melakukan pemeriksaan mendengar bunyi beberapa das tembakan, menyebabkan mereka bertindak balas.

“Pemeriksaan kemudian mendapati suspek berusia 31 tahun yang terbabit dalam kes samun wang tunai RM30,000 di Kuantan, Pahang tahun lalu, mati akibat ditembak di kerusi pemandu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 13 das tembakan dilepaskan anggota polis dan suspek berdasarkan jumlah kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian.

Zainol berkata, pihaknya turut menemui pistol semi automatik jenis Luger bersama peluru hidup dan kelongsong dalam kenderaan dipandu suspek.

“Berdasarkan maklumat, suspek dipercayai merancang merompak sebuah kilang di Butterworth sebelum dikesan polis.

“Anggota Unit Forensik masih melakukan pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian,” katanya. – WD MY