PUTRAJAYA, 25 Nov – Penstrukturan Semula……. Kabinet hari ini bersetuju melaksanakan
penstrukturan semula jualan rokok dan minuman keras serta kawalan sekatan ke
atas kenderaan di pulau-pulau bebas cukai termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata
kedai bebas cukai di pulau bebas cukai yang terdiri daripada lapangan terbang,
jeti penumpang dan kawasan bandar akan dijenamakan semula sebagai Kedai Bebas
Cukai 1 (KBC 1) dan tidak perlu mengemukakan jaminan bank.
“Had jualan rokok dan minuman keras diseragamkan di semua KBC 1. Kuantiti
jualan sebulan kepada penduduk dan pelancong tempatan serta pelancong warga
asing ialah tiga peti bir (24 tin satu peti), lima liter minuman keras dan tiga
karton rokok (200 batang sekarton),” katanya.
Tengku Adnan berkata bagi penumpang dan anak kapal yang meninggalkan
Malaysia ke luar negara dan menunjukkan pas pelepasan dengan destinasi
perjalanan terakhir di sesuatu tempat di luar negara, had kuantiti adalah sama
kecuali bir hanya dua peti dibenarkan.
Katanya bagi penumpang dan anak kapal yang baru tiba di Wilayah Persekutuan
Labuan dengan menunjukkan pas pelepasan, had kuantiti jualan adalah satu peti
bir (24 tin satu peti), satu liter minuman keras dan satu karton rokok (200
batang sekarton).

Jelasnya, kedai bebas cukai II (KBC II) terdiri daripada kedai runcit, kedai
kopi, restoran dan kafeteria dengan had jualan rokok dan minuman keras adalah
secara berasingan, masing-masing dalam bentuk pek atau tin tanpa had, serta
tidak perlu direkodkan.

KBC II juga dibenarkan menjual rokok dan minuman keras secara pek berasingan
mengikut masa operasi perniagaan masing-masing atau mengikut masa operasi yang
diluluskan di bawah Lesen Rumah Bir dan Lesen Rumah Awam, katanya.
Beliau berkata sekatan 30 hari bagi setiap perjalanan kenderaan tertakluk
kepada tempoh maksima 90 hari dalam setahun kalendar, kini dibatalkan.
Bagi semua kenderaan penumpang berkapasiti enjin 2,500cc ke bawah tidak
lagi diperlukan untuk mengemukakan jaminan bank dan memadai dengan hanya
mengemukakan Bon Am, katanya.
“Bagi kenderaan jenis kereta sedan yang melebihi kapasiti enjin 2,500cc ke
atas hendaklah mengemukakan jaminan bank pada kadar 50 peratus daripada nilai
duti dan cukai.
“Sementara kenderaan penumpang selain kereta sedan yang melebihi kapasiti
enjin 2,500cc seperti pikap tertakluk kepada syarat jaminan bank dan hanya
memadai dengan mengemukakan Bon Am,” kata Tengku Adnan. – WD MY