WASHINGTON, 18 Sep , Tersilap Sasar….. Pihak Pentagon mengaku tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat yang memerangi militan IS di Syria tersilap menyerang kedudukan tentera negara itu semalam selepas Russia menuduh ia membunuh sekurang-kurangnya 62 anggota tentera Syria.

“Tentera pakatan percaya mereka menyerang kedudukan IS. Serangan udara dihentikan serta merta apabila pegawai dimaklumkan pegawai Russia anggota dan kenderaan yang dijadikan sasaran adalah sebahagian tentera Syria,” menurut Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) dalam satu kenyataan.

Amerika Syarikat “kesal” dengan kematian tentera Syria, kata pegawai kanan pentadbiran negara itu.

“Washington menyampaikan kekesalan menerusi Persekutuan Russia di atas kehilangan nyawa tentera Syria yang tidak disengajakan,” katanya.

Tentera Syria menyatakan pesawat tentera pakatan menyerang kedudukan mereka berhampiran lapangan terbang Deir Ezzor di timur negara itu, dalam kes pertama tentera pakatan menyerang sasaran rejim Syria.

Russia yang juga sekutu Syria menyatakan 62 anggota tentera terbunuh dan sekurang-kurangnya 100 lagi cedera dalam serangan pesawat pasukan antarabangsa yang memerangi IS.

Tentera Russia menyatakan dua pesawat F-16 dan dua pesawat A-10 terbang memasuki ruang udara Syria dari Iraq untuk melancarkan serangan itu.

Pemerhati Hak Kemanusiaan Syria (SOHR) menyatakan angka kematian adalah 83, ketika mengesahkan serangan dilancarkan pasukan antarabangsa diketuai Amerika.

Pegawai Amerika juga mengesahkan serangan, berkata “mereka percaya enam kenderaan, termasuk apa yang disangkakan kereta kebal, diserang selain anggota tentera yang berada di kawasan terbuka.” – WD MY

LEAVE A REPLY