CALIFORNIA, 4 Jan – Lencongan…..Sebuah Pesawat dalam penerbangan dari Australia ke San Francisco terpaksa dilencongkan ke New Zealand selepas seorang penumpang yang tidak dapat dikawal memaki hamun kru dan penumpang lain.

Saksi, Neil Kay, memberitahu lelaki berkenaan marah apabila dua penumpang di barisan tempat duduk sama dengannya berbual sesama sendiri dalam penerbangan pada hari pertama Tahun Baru itu.

Lelaki terbabit duduk di tengah antara kedua-dua penumpang berkenaan.

“Itu yang menyebabkan dia marah dan melompat serta mula menjerit. Urat kelihatan timbul di lehernya,” kata Kay.

Kejadian berlanjutan beberapa jam, pada satu ketika dia mengambil tin soda dari tempat minuman dan membalingnya, sebelum kru memutuskan untuk berpatah balik dan mendarat di Auckland.

Video yang dirakamkan Kay menunjukkan lelaki itu memaki hamun ketika menggunakan telefon dan memberitahu pembantu penerbangan, “Adakah anda tahu betapa bangganya apabila kapal terbang berpatah balik kerana saya?” sebelum membuat komen mengenai berat badan wanita itu.

Jurucakap syarikat penerbangan United, Erin Benson berkata, pesawat dilencongkan kerana penumpang gagal mengikut arah kru.

Katanya, pihak berkuasa di New Zealand berjumpa dengan lelaki itu di atas pesawat.

Menurut stesen televisyen, KNTV, di San Jose, lelaki itu tidak didakwa tetapi masih dalam tahanan sehingga urusan kepulangannya ke Amerika Syarikat dibuat. – WD MY