NILAI, 5 FEB – KEMALANGAN…. Penunggang motosikal maut selepas dipercayai terbabas di Kilometer 280.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, berhampiran susur Nilai di sini, semalam.

Mangsa Muhamad Ilyas Zakaria, 24, berasal dari Bandar Baru Bangi, Selangor disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, jam 8.40 malam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata polis menerima laporan kejadian daripada pihak hospital berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku jam 6.30 petang apabila mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave di lorong kecemasan dipercayai hilang kawalan dan terbabas merempuh penghadang jalan.

“Mangsa kemudian tercampak di laluan sama. Orang awam yang melihat kejadian menghubungi ambulans sebelum mangsa dibawa ke HTJ untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah hospital itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – WD MY