KUALA LUMPUR, 25 Okt – Penyalahgunaan Dadah Membimbangkan……. Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi hari ini melahirkan kebimbangan kerajaan berhubung tahap
penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, “Pengedar dadah kini bertindak menggunakan pelajar untuk menjadi penagih supaya pasaran dadah dapat dipertingkatkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah di bangunan Parlimen hari ini.

tpm11
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata 74 peratus daripadanya
mengambil methamphetamine, 20 peratus kanabis dan selebihnya dadah jenis lain.
Menurutnya, hasil kajian mendapati pelajar Tingkatan Lima mencatat peratusan
tertinggi pengambilan dadah iaitu 40.6 peratus, diikuti Tingkatan Empat (32.5
peratus), Tingkatan Tiga (19.8 peratus), Tingkatan Dua (5.4 peratus) dan
Tingkatan Satu (0.08 peratus).

“Daripada jumlah ini, Kedah negeri paling tinggi yang pelajarnya mencuba
dadah iaitu 274 pelajar, diikuti 197 di Kelantan, 180 di Perak dan selebihnya
negeri-negeri lain,” kata Ahmad Zahid.
Beliau seterusnya berkata antara cadangan yang dikemukakan pada mesyuarat
itu ialah mengambil langkah mencairkan aset pengedar dadah yang dirampas dan
dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
“Kita rampas semua aset dan harta itu dan kita mohon mahkamah agar mencair
dan menunai aset itu dan hasil penjualan boleh digunakan untuk bantu aspek
pencegahan dan pemulihan,” katanya.
Beliau berkata mesyuarat turut meluluskan cadangan menubuhkan Makmal Khas
Ujian Dadah Berbahaya di Hospital Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid berkata kementerian juga akan meneruskan usaha memperkasakan
tindakan sedia ada oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Siasatan Jenayah
Narkotik, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Persatuan
Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) supaya lebih berkesan.
“Kita akan bertemu 30 hari akan datang (untuk mesyuarat ini). Saya tak mahu
lagi lihat keputusan hanya di atas kertas dan ia perlu diterjemahkan dalam
bentuk operasi dan tindakan susulan,” katanya.
Beliau turut meminta semua pihak termasuk ibu bapa supaya bekerjasama dalam
membanteras dadah dan tidak meletakkan tugas itu hanya kepada agensi
penguatkuasaan dan pemulihan dadah. – WD MY