IPOH, OKTOBER 27: PENYOKONG…Hampir 1,000 penyokong pasukan bola sepak Perak memulakan perjalanan dari sini secara berkonvoi menaiki bas dan kereta untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.

Mereka bergerak menaiki kira-kira 20 bas dan beberapa kenderaan lain termasuk kereta dari Stadium Perak kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Hampir semua penyokong pasukan julukan The Bos Gaurus (TBG) itu dilihat memakai jersi Perak berwarna kuning hitam kelihatan begitu bersemangat dan berkobar-kobar untuk menyaksikan perlawanan menentang Terengganu FC.

Mereka berkumpul di Stadium Perak di sini sebelum memulakan perjalanan didahului dengan bacaan doa dan dilepaskan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pentadbiran), Norsham Abd Rahman.

Terdahulu, Norsham dalam ucapan ringkasnya mendoakan penyokong menempuh perjalanan pergi dan balik dalam keadaan selamat.

Beliau meminta semua penyokong memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Perak sepanjang 90 minit perlawanan malam ini seterusnya memastikan Perak mencipta kejayaan dan membawa pulang piala berprestij itu.

Kali terakhir Perak membawa pulang Piala Malaysia adalah 18 tahun lalu selepas menumbangkan Negeri Sembilan 2-0 pada final.-MY WD