ALOR SETAR, 27 JULAI – TOLAK…. Kira-kira 50 bas yang membawa lebih 2,000 penyokong Kedah untuk menyaksikan final Piala FA menentang Perak, bertolak dari Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Rombongan berkenaan sebahagian daripada 220 bas dan van yang mendaftar untuk tempahan tiket berkumpulan dan bertolak antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam dari pekarangan Stadium Darul Aman.

Rombongan ini juga merangkumi penyokong dari Alor Setar, Kubang Pasu, Jerlun, Pokok Sena, Pendang dan sekitarnya.

Menurut jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) yang diwakili lebih 20 kelab penyokong Kedah, Mohd Safarizal Mohd Sobri, pihaknya bertolak lebih awal bagi mengelak kesesakan apatah lagi kedua-dua penyokong menggunakan laluan sama.

“Memang kami merancang bertolak awal seperti kata orang Kedah ‘awai tak kalut’.

“Perjalanan mengambil masa lebih kurang 7 hingga 8 jam dan kami harap dapat mengelak daripada kesesakan untuk makan serta berhenti rehat.

“Biar kami rasa tenang dan cukup masa bila sampai di Kuala Lumpur nanti terutama di tengahari sebelum bertolak ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada sebelah petang,” katanya.

Safarizal yang juga Presiden Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC) berkata, pihaknya mendapat permintaan yang tinggi daripada ahli kelab yang mahu menyertai rombongan ini atas dasar semangat berterusan menyokong pasukan Kedah.

“Kami harap dapat menyaksikan satu perlawanan yang hebat dan pastinya impian kami mahu melihat Kedah menjulang dan membawa pulang Piala FA,” katanya. – WD MY