KAJANG, 16 FEB – CALON…. Ribuan penyokong tiga parti sudah memenuhi perkarangan Dewan Sri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, di Saujana Impian di sini sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pagi ini.

Sejak jam 7 pagi lagi, penyokong sudah mula tiba dengan kibaran bendera dan sepanduk dibawa bagi menyatakan sokongan kepada calon masing-masing.

Kumpulan penyokong dipecahkan kepada tiga lokasi berbeza membabitkan parti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pusat penamaan calon mula dibuka jam 9 pagi ini, dengan wakil calon akan mula menyerahkan borang pencalonan masing-masing kepada pegawai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, laluan di sekitar dewan berkenaan juga ditutup sebagai langkah keselamatan menyebabkan kesesakan berlaku di Jalan Kajang-Semenyih.

Lebih 100 anggota polis sudah berkawal di sekitar dewan penamaan calon sementara anggota trafik pula mengawal lalu lintas.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu, disebabkan serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili PSM.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. – WD MY