KUALA LUMPUR, 4 Dis – Para pengguna mengalami kesukaran akibat
penyusunan semula laluan bas di Lembah Klang sejak 1 Dis lalu.

Masa menunggu menjadi lebih lama dan sesetengah jarak perjalanan menjadi
lebih jauh.

Misalnya bagi penduduk di sekitar Ampang Jaya, mereka terpaksa menunggu bas
perantara yang datang dari Pusat Beli-Belah Ampang Point sebelum menyusuri
kawasan perumahan di Ampang Jaya hingga Bukit Indah, memasuki pula Taman Kosas,
keluar di Jalan Ampang di Bandar Baru Ampang, melalui Stesen LRT Ampang sebelum
tiba semula di Ampang Point.

Untuk menyambung perjalanan ke Ampang Park, KLCC atau pusat bandar raya,
pengguna terpaksa berebut-rebut dan bersesak pula menaiki bas lain di hadapan
Ampang Point atau laluan sebelumnya.

Berbanding sebelum ini, bas rapid U26 hanya bertolak dari poin terakhir
Bukit Indah, melalui Ampang Point dan memasuki Jalan Ampang hingga terus ke
Jalan Silang dan Lebuh Ampang tanpa melalui Taman Kosas dan Bandar Baru Ampang
yang terkenal dengan kesesakannya.

Dengan kata lain, pengguna terpaksa menggunakan dua bas dan melalui jalan
yang lebih panjang yang sudah tentu melambatkan mereka untuk ke pejabat.

SPAD mengumumkan pelaksanaann Bus Network Revamp (BNR) berkuat kuasa Selasa
lalu membabitkan penyusunan semula rangkaian perkhidmatan bas henti-henti di
Greater Kuala Lumpur.

Di bawah penyusunan semula itu, rangkaian bas di bahagikan kepada lapan
koridor iaitu Koridor Jalan Ipoh, Koridor Jalan Pahang, Koridor Ampang, Koridor
Cheras, Koridor Sungai Besi, Koridor Klang Lama, Koridor Lebuhraya Persekutuan
dan Koridor Damansara. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY