IPOH, 2 Jan – Tidak Halang…… Pihak Kerajaan Perak tidak pernah menyekat mana-mana
organisasi media daripada membuat liputan di negeri itu walaupun jika ia membuat
laporan yang tidak memihak kepada kerajaan negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri
Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata ini kerana pihak kerajaan negeri tidak mengamalkan dasar
“mengajar pihak media apa yang perlu dilaporkan atau berita yang tidak perlu
ditulis atau disiarkan”.
Katanya pihaknya sentiasa menghargai kerjasama daripada pihak media
yang memberi liputan mengenai isu semasa atau perkara yang berkaitan dengan
Perak sekali gus dapat membantu kerajaan negeri mentadbir dengan lebih baik.
“Walaupun ada di antara media melaporkan berita yang negatif, kami tidak
pernah menghalang wartawan daripada membuat liputan kerana inilah demokrasi yang
kami sentiasa amalkan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Malam Media Perak 2016
anjuran Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) yang dihadiri kira-kira 100
pengamal media daripada pelbagai agensi, di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Zambry turut menyempurnakan gimik pelancaran Tahun Melawat
Perak 2017 inisiatif PPMP. – WD MY