IPOH, NOVEMBER 23: ICERD…Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tiada keperluan di peringkat negeri untuk membincangkan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana apa juga keputusan di peringkat Persekutuan perlu diikuti negeri.

Beliau berkata, apabila kerajaan pusat sudah membuat keputusan dalam perkara itu dan atas semangat persekutuan maka tidak perlu perbincangan di peringkat negeri.

“Atas semangat persekutuan apabila Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sudah membuat keputusan berkenaan, negeri seharusnya ikut keputusan itu,” katanya ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan negeri mengenai ICERD.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja LAP Ke-15 di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda; Pengurus Besar LAP, Datuk Mohd Yusof Mohd Isa dan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja LAP, Zainal Ismail.

Ahmad Faizal berkata, pendirian beliau adalah menolak ICERD selaras dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan pucuk pimpinan negara berhubung isu berkenaan yang berpendapat ia mustahil untuk dilaksanakan di negara ini.

“Saya perlu tegaskan perkara ini (ICERD) belum dibawa dalam perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, tetapi bagi pihak diri saya selaku Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak selaras dengan keputusan dibuat pucuk pimpinan parti dan juga negara, kita menolak ICERD.

“Kepimpinan secara tegas mengatakan isu ini akan menyentuh sensitiviti kaum malah sekarang ini bukan masanya untuk rakyat Malaysia bercakap tentangnya kerana banyak masalah lain yang perlu kita bekerjasama untuk memastikan negara berada di landasan yang betul,” katanya.-MY WD