KUALA LUMPUR, 15 APRIL – TAHAN…… Empat anggota polis termasuk dua pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, disiasat selepas didakwa memeras ugut seorang lelaki yang ditahan kerana dadah, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, siasatan susulan aduan yang diterima daripada mangsa yang mendakwa diperas ugut untuk membayar RM5,000 sekiranya mahu dibebaskan dari tuduhan memiliki dadah.

“Mangsa mendakwa dia pada mulanya ditahan dua individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis ketika sedang memandu kereta berhampiran sebuah universiti swasta di Taman Connaught, kira-kira jam 4 petang, Selasa lalu.

“Dua anggota polis itu kemudian memeriksa kenderaan mangsa dan menemui sejumlah dadah, bagaimanapun mangsa menafikan dadah itu miliknya.

“Mangsa turut mendakwa ditumbuk di bahagian muka oleh anggota polis terbabit sebelum dibawa ke Balai Polis Cheras untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Tambahnya, mangsa kemudian diberi pilihan sama ada mengaku dadah yang itu adalah miliknya atau membayar RM5,000 dan akan dibebaskan.

“Mangsa bersetuju membayar wang berkenaan sebelum dibebaskan pada hari kejadian, bagaimanapun dia membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu keesokannya.

“Susulan aduan yang diterima, satu siasatan dijalankan dan kita sudah pun mengenal pasti empat anggota dan pegawai terbabit,” kata beliau lagi.

Menurut Roslan Bek, pihaknya amat memandang serius kejadian sebegini dan tidak berkompromi dengan sebarang salah laku membabitkan pegawai dan anggotanya.

“Kita akan menjalankan siasatan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan (ASP) Lee Chen Shim di talian 016-713 2740 atau Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Hafizee Ismail di talian 013-358 7571.

Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – WD MY