KUALA LUMPUR, 12 MAC – KECOH…. Sidang Dewan Rakyat petang ini kecoh dengan pertikaman lidah membabitkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang ketika berlangsungnya sesi perbahasan menjunjung Titah Diraja.

Kekecohan tercetus apabila Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-PKR Johor Bahru) menyebut berkaitan laporan media mengenai siasatan dan rampasan kenderaan milik pemimpin PAS yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perbahasannya.

Beliau meminta supaya menteri berkaitan mendedahkan mana-mana nama pemimpin PAS yang sedang disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) kemudian bangkit menyatakan bahawa dakwaan itu sebagai tidak berasas dan fitnah kerana hanya dibuat berpaksikan laporan akhbar.

Keadaan itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen PAS lain termasuk Che Alias Hamid (PAS-Kemaman); Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Kuala Terengganu) bangkit meminta supaya Akmal Nasrullah mendedahkan nama pemimpin PAS terbabit.

Mereka juga mendesak Akmal Nasrullah menarik balik dakwaan itu jika gagal mendedahkan nama pemimpin PAS, menyebabkan ramai lagi Ahli Parlimen dari PAS dan Barisan Nasional (BN) yang lain bangkit sehingga dewan menjadi kecoh.

Kekecohan berlangsung selama kira-kira 10 minit.

Ahmad Marzuki Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) kemudian bangun meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menggunakan peraturan mesyuarat 36 dengan meminta Akmal Nasrullah menarik balik kenyataannya.

Mohamad Ariff kemudian mengarahkan Akmal Nasrullah menarik balik dakwaannya sebelum ia dituruti Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR. – WD MY