KUALA LUMPUR, 17 Okt – Pada Tahun Hadapan…..Perbicaraan kes seorang doktor perbidanan dan sakit puan (O&G) yang didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan kematian menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa mendapatkan rawatan gigi Jun lalu, ditetapkan lima hari bermula 23 hingga
27 Jan 2017.

Hakim Zaman Mohd Noor menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan
Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar yang memohon satu tarikh baharu bagi
menyediakan beberapa dokumen berkaitan kes itu yang akan digunakan bagi membantu
perbicaraan.

Shukor berkata antara dokumen yang akan diserahkan kepada pihak pembelaan
ialah dua laporan daripada farmaseutikal dan satu set yang mengandungi 36 keping
gambar di tempat kejadian.

Beliau memaklumkan bahawa pihak pendakwaan juga telah menyerahkan 32 dokumen
berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan.

Peguam Dev Kumaraendran yang mewakili Dr Ting Teck Chin, 36, mengesahkan
perkara tersebut dan mahkamah menetapkan 11 Nov depan sebagai tarikh pengurusan
kes dan serahan dokumen.
Pada 12 Ogos lepas, Dr Ting yang memberi perkhidmatan bius secara sambilan
di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan
menyebabkan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, 44, dengan mengetahui
bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Dr Ting, yang bertugas di Jabatan O&G di Hospital Kuala Lumpur, didakwa
melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 & 64, Jalan
Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, 1
Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman
penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di mahkamah berasingan Hakim Hamri Thamri Mohamad @
Shaharudin menetapkan 11 Nov depan untuk pengurusan kes bagi pusat pakar
pergigian Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd atas sembilan pertuduhan
berhubung kematian Syed Alman Zain.

Pengarah syarikatnya Dr Wong Yen Ling yang mewakili pusat pakar pergigian
itu juga mengaku tidak bersalah ketika pendakwaan pada 12 Ogos lepas. – WD MY