ALOR SETAR, 12 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi ini berbasikal bersama golongan remaja sejauh kira-kira dua kilometer (km) melalui Program Kayuhan Muafakat Kedah, sempena Program Gen Y Bersama PM, di sini.

Najib bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, memulakan acara berbasikal pada jam 8.50 pagi dengan pelepasan disempurnakan isteri Menteri Besar Kedah, Datin Seri Hizam Awang Ahmad.

Acara berbasikal bersama kira-kira 200 peserta itu bermula di Lebuhraya Darul Aman bersebelahan Menara Alor Setar, menyusuri Jalan Tunku Ibrahim, Jalan Sultan Badlishah dan Jalan Teluk Wanjah, sebelum kembali ke lokasi pelepasan.

Program yang turut menyaksikan himpunan kira-kira 4,000 golongan Gen Y Kedah itu berlangsung di Dataran Menara Alor Setar, di sini, dengan pelbagai acara menarik diadakan seperti pertunjukan bakat, Funrobik BAKTI dan Gen Y Cafe. – WD MY