PEKAN, 22 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan
539 ekor lembu korban bersempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada
Khamis ini kepada masjid, surau, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan
di daerah Pekan.

Najib, yang diwakili Timbalan Ketua UMNO bahagian Pekan Datuk Abu Bakar
Harun, turut menyampaikan sumbangan itu kepada 13 bahagian UMNO di Pahang,
masing-masing menerima 10 ekor lembu.

“Untuk tahun ini, sebanyak 59 masjid, 158 surau dan 32 pejabat kerajaan
serta NGO di Pekan menerima sumbangan ini,” katanya di Majlis Penyampaian
Watikah dan Wakalah Lembu Korban 2015 Parlimen Pekan di Bangunan UMNO hari ini.

Sebanyak 15 syarikat telah menyumbangkan lembu berkenaan yang kemudian
diserahkan kepada Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, pada 17 Sept lepas.

Antaranya Sapura Holdings Sdn Bhd yang menyumbang 128 ekor lembu, NAZA Group
(75), DRB-HICOM Berhad (50), WZR Property Sdn Bhd (30), Pertubuhan Peladang
Kebangsaan (30) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (28).

Syarikat lain yang turut menyumbang ialah Roadcare (M) Sdn Bhd (28), HeiTech
Padu Berhad dan Nukima Sdn Bhd (20), GBP Corporation Sdn Bhd (20), AJ
Aeroservices Sdn Bhd (20) dan Kini Unggul Sdn Bhd (15) – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY