KUALA LUMPUR, 24 Feb – Ucapan Tahniah….. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua sukarelawan dari Malaysia serta negara lain yang mengorbankan masa, tenaga dan keringat dalam membantu misi kemanusiaan ‘Food Flotilla For Myanmar’.
Najib turut bersyukur dengan ketibaan kapal Nautical Aliya yang membawa misi kemanusiaan ‘Food Flotilla For Myanmar’ di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang pagi tadi.

“Alhamdulillah, kapal Nautical Aliya yang membawa misi Food Flotilla for Myanmar bersama ribuan tan bantuan kepada mangsa pelarian Rohingya di sana dan juga di Bangladesh, telah selamat pulang ke Malaysia selepas melengkapkan misi mereka.

 “Semoga Allah SWT memberi ganjaran kepada semua yang telah menyumbang kepada
usaha murni ini. Insya-Allah,” katanya dalam catatan laman sosialnya.
Kapal Nautical Aliya yang tiba di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang
pada kira-kira 10 pagi tadi disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein serta anggota keluarga 183 sukarelawan misi berkenaan.
Nautical Aliya berlepas keluar dari Pelabuhan Klang pada 3 Feb lepas membawa
2,300 tan makanan dan barangan keperluan untuk etnik Rohingya di Myanmar dan
pelarian Rohingya di Bangladesh.

Bantuan di Bangladesh itu adalah untuk diagihkan di tiga kem pelarian di
Kutupalong, Cox’s Bazar dan Teknaf dengan bantuan Persatuan Bulan Sabit Merah
Bangladesh dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran. – WD MY