SHAH ALAM, 17 Nov – HADAPI….. Pereka jubah Muslim sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini atas tuduhan menipu membabitkan kerugian RM50,000.

Ahmad Syubaili Aziz, 31, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu seorang wanita tiga tahun lalu.

Dia didakwa memperdaya Fazlin Che Faizu, 28, menyerahkan kad Mesin Wang Automatik (ATM) Bank Rakyat miliknya yang mengandungi wang RM50,000, selepas menawarkan pendaftaran perniagaan (MLM DCHL) dari Syarikat RZ Corporation Sdn Bhd yang tidak dilakukannya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pada 26 Februari 2014 di Bank Rakyat cawangan Sungai Buloh.

Jika sabit kesalahan Ahmad Syubaili boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan denda.

Raja Noor Adilla menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta 29 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Amira Haziqah Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam Ellen Cheran.

Pada Oktober lalu, Ahmad Syubaili didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memperdayakan dua jururawat hospital berhubung perniagaan nasi lemak membabitkan kerugian RM84,000. – WD MY