LABUAN, 17 Nov – Halang…… Pergerakan Pemuda UMNO Labuan dan Majlis Belia Labuan (MBL) berikrar akan menghalang kemasukan Bersih 5.0 ke pulau bebas cukai ini, sambil menyifatkan kumpulan itu berpaksikan politik dan jentera kempen parti pembangkang.
Bagi Ketua Pemuda UMNO Labuan Datuk Mohd Rafi Ali Hassan, ketenteraman Labuan tidak perlu diganggu-gugat oleh apa juga aktiviti penyebaran ideologi politik yang bertentangan dengan perjuangan kerajaan Barisan Nasional.
“Pergerakan Pemuda UMNO Labuan bersama MBL telah sepakat akan menghalang kumpulan yang berpaksikan politik ini memasuki Labuan. Sekiranya mereka berkeras untuk masuk ke pulau ini lagi dan menggunakan kekerasan, kami akan bersedia,” katanya dalam sidang akhbar bersama-sama MBL hari ini.
Rafi yang juga setiausaha politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan menyifatkan Bersih merupakan kenderaan kepada parti-parti pembangkang untuk meneruskan usaha mereka untuk menumbangkan kerajaan.
“Jelas sekali (Bersih) bukan untuk memperjuangkan hak rakyat. Kita tidak perlu ‘pembersihan’ daripada kumpulan Bersih, ini kerana UMNO Labuan dan MBL sentiasa membantu kerajaan dalam isu untuk kepentingan rakyat. Lagipun Bersih tidak mendapat sambutan daripada warga setempat,” kata Rafi. – WD MY