KUALA LUMPUR, 3 Julai – Pergerakan Wanita UMNO menerima baik dan
bersetuju dengan cadangan Majlis Tertinggi (MT) yang menanggguhkan pemilihan
parti selama 18 bulan.

Menurut Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, persetujuan itu dicapai bagi
menentukan semua pemimpin dan juga ahli UMNO menumpukan perhatian kepada
pilihan raya umum akan datang.

“Cadangan penangguhan pemilihan UMNO ini bermula dari cawangan-cawangan yang
telah bermesyuarat. Kami (Wanita UMNO) tidak ada bantahan dan kita terima
baik cadangan tersebut”, katanya.

Beliau berkata kepada media pada majlis sumbangan Hari Raya kepada
golongan asnaf oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan kerjasama Alliance
Islamic Bank Berhad dan Jakel di pusat membeli-belah Jakel Mall di sini, hari
ini.

Tambah Shahrizat yang juga Pengerusi YKN berkata Wanita mengalu-alukan keputusan ini
serta akan menggunakan masa ini untuk mempertingkatkan lagi jentera Wanita.

“Jika lihat usul yang telah dibawa, ia adalah usul untuk menangguhkan
pemilihan, idea ini bermula dari peringkat bawahan iaitu cawangan-cawangan dan
bukannya dari peringkat atas.

Jadi MT terima sahaja keputusan tersebut. Cadangan ini memang munasabah dan
bagi Wanita sebagai jentera utama kami menerima keputusan ini dengan baik
sekali”, katanya.

Pada majlis itu seramai 206 golongan asnaf daripada Pusat Darul Ulum Furqani
cawangan Puchong, Pusat Jagaan Lambaian Kasih, Madrasatul Quran Yaakubiyah dan
Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul menerima sumbangan.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY