DOUMA, 25 Feb – GENCATAN SENJATA…. Serangan udara baru ke atas wilayah Ghouta Timur di Syria hari ini menjadikan angka kematian penduduk awam sejak seminggu lalu kepada lebih 500.

Ia susulan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sekali lagi menangguhkan undian mengenai gencatan senjata.

Lebih 120 kanak-kanak antara yang maut dalam kempen pengeboman yang dilancarkan Ahad lalu di wilayah itu, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).

Badan pemerhati beribu pejabat di Britain itu berkata, sekurang-kurangnya 29 penduduk awam maut dalam serangan hari ini, termasuk 17 di bandar Douma.

Ia berkata, serangan dilancarkan tentera Syria dan Russia. Moscow, yang memberi bantuan ketenteraan kepada sekutunya, Damsyik pada 2015, menafikan sebarang pembabitan secara langsung dalam pengeboman di Ghouta Timur.

Presiden Donald Trump, semalam berkata tindakan Russia baru-baru ini di Syria ‘memalukan.’

Majlis Keselamatan dijangka mengundi semalam mengenai resolusi menggesa gencatan senjata sebulan untuk membolehkan bantuan dihantar dan memindahkan penduduk awam yang cedera serius.

Namun undian ditangguh sehingga jam 12.00 tengah hari waktu New York hari ini ketika kuasa Barat berbalah dengan Russia mengenai kandungannya. – WD MY