KUALA LUMPUR, 1 Dis – Bersedia…..Perhimpunan  Agung UMNO (PAU) kali ini lebih baik berbanding tahun lalu kerana berjaya menyingkirkan ketidaktentuan yang dicetuskan oleh pemimpin kanan bermasalah.
Menurut Naib Presiden UMNO yang memangku tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ahli-ahli UMNO kini sudah jelas hala tuju parti dan dilihat situasinya lebih selesa berbanding tahun lalu.

“Saya membuat perbandingan PAU sebelum ini, tahun lepas kita terpaksa lalui situasi yang tak pernah kita lalui, ketidaktentuan boleh dirasai perwakilan kita, semangat kekeluargaan daripada setiap perwakilan kita dapat lihat, mood tahun ni saya rasa beza dengan tahun lepas, ia memberi peluang terus untuk kita lihat ke hadapan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Ucapan Dasar Perhimpunan Agung UMNO oleh Presiden parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Khamis.

Pada PAU sebelum ini, berlaku ketegangan antara Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin apabila bekas timbalannya itu sebelum ini melontarkan ketidakpuasan berhubung isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara itu kemudiannya menjadi isu utama perbahasan daripada setiap perwakilan.
Namun, dalam PAU kali ini hala tujunya dilihat lebih fokus dengan merancang strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kita tak perlu mengherokan mana-mana tokoh yang tak ada dalam gelanggang UMNO biarpun berbentuk pemujaan jika nama seseorang itu diulang-ulang muncul semula lebih baik biarkan,” tambahnya. – WD MY