KUALA LUMPUR, 4 DIS – SIDANG….. Kira-kira 5,600 perwakilan dari tiga sayap parti UMNO seluruh negara akan bersidang pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2019) hari ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Shamsul Annuar Nasarah berkata, jumlah itu termasuk perwakilan Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO dari Sabah.

Katanya, UMNO mengambil langkah berani kali ini dengan menyiarkan secara langsung perhimpunan itu melalui portal rasminya UMNO Online.

“Kita mahu seluruh rakyat pelbagai kaum di negara ini dapat mengikuti persidangan ini secara langsung. Kita mahu lebih telus kepada rakyat. Kita tidak mahu sembunyi apa-apa kepada mereka.

“Langkah berani ini tidak akan dilakukan oleh parti lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) dalam perhimpunan agung mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat kepada media sempena PAU 2019 di Laman Media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Sebelum itu, beliau merasmikan Laman Media PAU 2019 dengan acara memotong reben.

Menurut Shamsul Annuar, UMNO juga menjangkakan lebih 20,000 akan hadir esok termasuk wakil siswa dari luar negara.

Sebanyak 50 acara disediakan sepanjang PAU, antaranya raptai, forum ekonomi, perasmian serentak sidang Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan dan wacana ilmu.

Kata beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan perhimpunan agung itu pada 6 Disember kira-kira jam 9 pagi di Dewan Merdeka PWTC.

Pada 5 Disember, katanya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki akan menyampaikan ucapan dasar, diikuti Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan. – WD MY