BALING, 29 Sept – NASIHAT…. Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Azeez Abdul Rahim menasihatkan bakal jemaah umrah agar mengambil inisiatif lebih agresif dengan memeriksa latar belakang syarikat yang menawarkan pakej berkenaan bagi mengelak daripada tertipu dengan pakej umrah murah dan berdepan pelbagai masalah besar untuk mengerjakan ibadah itu.

Abdul Azeez berkata sunggupuhpun telah banyak kes penipuan umrah dilaporkan tetapi masih ramai yang terpedaya dan akhirnya terkandas di lapangan terbang.

‚ÄúLebih teruk, jika terkandas di Makkah atau Madinah hingga terpaksa diselamatkan,” katanya kepada media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Umrah/ Ziarah Dan Hak-hak Kepenggunaan Kepada Orang Awam 2017 peringkat negeri Kedah malam tadi.

Abdul Azeez yang juga Anggota Parlimen Baling berkata pihaknya tidak mahu orang ramai terus menganggap TH mempunyai dana khas menyelamatkan mereka yang terkandas akibat ditipu agensi atau orang persendirian untuk pergi ke tanah suci.

“Disebabkan itu, kita menggesa orang ramai jangan ambil mudah perkara ini. Jika ditawarkan terlalu murah, jangan terpedaya kerana harga minimum yang ditetapkan bagi satu pakej umrah adalah RM4,900.

 

“Bimbang jika terlalu murah, harga tersebut adalah untuk perjalanan sehala dan akhirnya, jemaah tidak boleh pulang ke Malaysia kerana ditahan akibat gagal bayar bil hotel dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata visa umrah dan ziarah akan mula dikeluarkan pada minggu depan.

Sementara itu, seorang mangsa Azman Amin, 50, berkata dia terkandas di lapangan terbang hampir dua hari selepas tiada penerbangan yang sepatutnya membawa dia dan 42 lagi jemaah dua tahun lepas.

“Sudahlah penerbangan ditukar tarikh selepas sebulan dari tarikh asal, apabila kami dapat tarikh baru, penerbangan tak ada pada tarikh yang diberikan walaupun pembayaran lebih RM5,000 sudah dilakukan.

“Apabila kami cuba hubungi individu yang mendakwa wakil dari sebuah syarikat pakej umrah, langsung tiada jawapan. Akhirnya, kami buat laporan dan baru dapat tahu syarikat itu tidak wujud,” katanya. – WD MY