SHAH ALAM, NOVEMBER 3: SUBSIDI…Kerajaan perlu memperincikan mekanisme pemberian subsidi minyak kepada kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc agar tidak mengelirukan rakyat.

Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Dr Ahmad Razi Ramli, berkata rakyat perlu tahu dengan jelas siapa individu layak berikutan ada golongan berpendapatan tinggi memiliki kenderaan itu.

“Apa yang perlu diteliti adalah mekanisme pemberian subsidi minyak itu kerana saya khuatir mekanisme subsidi tidak dinyatakan dengan jelas.

“Apa yang merisaukan saya, apabila bercakap mengenai kenderaan berkuasa rendah, kita kadangkala lupa, mereka yang berpendapatan tinggi dan hidup mewah juga memiliki kenderaan berkuasa rendah tetapi berjenama mewah.

“Jadi, bagaimana cara menyasarkan subsidi minyak itu kepada golongan yang benar-benar layak, memerlukan dan berpendapatan rendah,” katanya.

Ahmad Razi berkata, aspirasi pemberian subsidi itu sangat baik, cuma apabila dilaksanakan, perkara berkenaan mungkin perlu diberi sedikit masa kepada kerajaan untuk memikirkan cara lebih baik dari segi mekanisme.

“Mungkin apabila dilaksanakan kelak, akan ada kekurangannya tetapi saya harap sasaran kepada kumpulan sasar diteruskan dan mengambil kira kelemahan yang ada.

“Saya harap kerajaan dapat memperincikan subsidi ini sebab ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, (juga berlaku perkara sama), berkaitan cukai jalan apabila kelemahannya ialah individu yang tidak sepatutnya pun boleh dapat,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bermula pada suku kedua 2019 pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.

Sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka memanfaatkan empat juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.

Ditanya mengenai dakwaan bantuan menerusi Belanjawan 2019 sebagai menukar nama sahaja daripada apa yang diusahakan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN), Ahmad Razi berkata, semua pihak perlu melihatnya sebagai sesuatu yang positif apabila ia masih dikekalkan, terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

“Sebelum bajet, saya beranggapan potongan yang lebih drastik dibuat tetapi apa yang diumumkan bagi saya ia lebih bersifat bermurah hati tanpa mengambil kira ia sama atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dari segi bantuan, ia agak tidak begitu menggembirakan kerana beliau menjangkakan golongan berpendapatan rendah mendapat keistimewaan lain selain bantuan secara terus.

“Secara amnya, kumpulan berpendapatan rendah ini mempunyai anak ramai. Jadi, saya lihat mungkin pemberian yang dihadkan kepada empat anak sahaja perlu dilihat semula.

“Jumlah empat anak mungkin terlalu rendah, tetapi apabila bersasar, nilai mungkin boleh dinaikkan. Yang penting, mereka yang benar-benar layak terima,” katanya.-MY WD