KUCHING, 21 Feb – Keupayaan Malaysia menangani kegiatan radikal dan ekstremis dikagumi pelbagai pihak di peringkat global, termasuk Polis Antarabangsa (INTERPOL).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pengiktirafan itu bersandarkan kepada kadar pemulihan 97 peratus membabitkan 130 individu ditahan atas kesalahan berkaitan kegiatan berkenaan sebelum ini.

“Bagi individu ditahan atas kesalahan radikal dan ekstremis, mereka akan diasingkan untuk menjalani proses pemulihan. Mereka tidak ditempatkan bersama banduan lain bagi mengelak penyebaran pengaruh dan fahaman itu sesama mereka.

“Dalam pelaksanaan proses pemulihan deradikalisasi itu, mereka akan diberikan kaunseling dan khidmat nasihat untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Penjara kelmarin.

Di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Ahmad Zahid berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan Jabatan Penjara dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), malah turut mendapat bantuan pakar psikologi.

“Sejak dilaksanakan, kadar pemulihan dalam kalangan individu ditahan atas kesalahan berkaitan kegiatan radikal dan ekstremis tinggi, sekali gus membuktikan keberkesanan matlamat pelaksanaannya.

“Malah, kita turut mencipta sejarah apabila menjadi negara contoh di dunia dalam menangani pemasalahan itu, malah banyak pihak luar menunjukkan minat untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman kita dalam pelaksanaan usaha berkenaan,” katanya.- Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY