KOTA KINABALU, 9 JUN – TERUS….. Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 25 Jun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata perintah berkurung dari jam 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di rumah dan tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan itu antara JAM 6 petang dan 6 pagi pada tempoh berkenaan.

“Perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh masuk ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Omar berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Katanya, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya. – WD MY