KUALA LUMPUR, 14 Dis – PERJANJIAN….. Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, didakwa bertemu dan membuat perjanjian bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim demi kelangsungan UMNO.

Mohamed Nazri didakwa membuat empat tawaran kepada Anwar, antaranya adalah supaya Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak membubarkan UMNO apabila menjadi Perdana Menteri dalam masa satu tahun setengah.

Tawaran lain termasuklah supaya Anwar tidak menganiaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengembalikan semula sistem ketua kampung serta memastikan agihan peruntukan yang sama antara Ahli Parlimen UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

Anwar didakwa menerima empat perkara itu dengan baik, dengan menyifatkan kerajaan perlukan UMNO sebagai pembangkang dan tidak akan menganiaya Najib kerana Ahli Parlimen Pekan itu pernah menjadi timbalannya (dalam Pemuda UMNO), selain beliau sendiri pernah dianiaya selama 20 tahun.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas itu didakwa memaklumkan secara terperinci hasil pertemuannya dengan Anwar dalam satu mesyuarat dengan UMNO Selangor, semalam.

Ia berdasarkan satu rakaman ucapan dalam mesyuarat itu yang diterima portal berkenaan, dan disahkan Mohamed Nazri.

“Ini bukan benda baharu, ia rahsia umum bahawa kebanyakan (Ahli Parlimen UMNO) mahu jadi sebahagian dalam kerajaan…Tiada apa-apa (yang berunsur) jahat,” katanya.

Portal itu turut melaporkan akar umbi UMNO yang berada dalam mesyuarat itu tidak menerima tawaran antara Mohamed Nazri dan Anwar itu dengan baik, khususnya kerana mereka enggan bekerjasama dengan DAP.

Ketua Pemuda UMNO Ampang, Zulkifli Rajalie, yang berada dalam mesyuarat itu dilaporkan berkata, sebahagian besar akar umbi tidak selesa bekerja dengan DAP, selain kerjasama dengan parti itu bakal menjejaskan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO.

“Kita risau orang Melayu akan hilang kepercayaan dengan UMNO. Suara rakyat kena dengar, suara himpunan anti ICERD kena dengar, (kita mahu) umat Islam bersatu,” katanya, seperti dipetik portal berkenaan.

Bagaimanapun, Mohamed Nazri menjelaskan mereka hanya bekerjasama dengan Anwar, selain Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua kerana bekerjasama dengan parti itu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu turut menegaskan, hasil kerjasama itu menyaksikan UMNO akan bertanding di kerusi majoriti Melayu pada pilihan raya akan datang, manakala PKR di kerusi campuran. – WD MY